Wednesday 29 August 2012

Tuesday 7 August 2012

PENGENALAN


PENGENALAN
Disiplin memainkan peranan yang penting ke arah pembentukan sahsiah para pelajar. Ia adalah salah satu komponen penting dalam sistem persekolahan yang berkait rapat berkenaan tatatertib, tatasusila, keadaan, akhlak dan kesopanan. Perkataan disiplin merupakan satu perkara yang begitu sinonim dalam kehidupan kita seharian. Perkataan disiplin ini membawa pengertian yang begitu meluas sama ada pengertian yang positif ataupun pengertian yang negatif. Walaubagaimanapun, pengertian negatifnya yang sering menjadi tumpuan dan menjadi satu isu yang amat popular jika ia melibatkan individu atau kumpulan yang rapat dengan masyarakat. Apa yang diperkatakan sekarang ialah masalah disiplin di sekolah semakin menjadi-jadi dan semakin menular bukan saja di dalam sekolah malah di luar kawasan sekolah yang melibatkan pelajar sekolah menengah.
Disiplin dan kawalan pelajar di sekolah harian samaada di bandar dan luar bandar adalah bersesuaian dengan kemerosotan disiplin di kalangan pelajar sekolah pada sebilangan masa. Peranan utama para guru dalam menerapkan nilai disiplin dengan menunjukkan kesungguhan dan kesediaan pihak sekolah memberikan penegasan yang lebih berkesan. Sekurang-kurangnya dengan memberi suatu garis panduan mengenai masalah disiplin yang kerap berlaku di sekolah menengah. Selain itu, bagaimana disiplin dapat dikawal oleh pihak sekolah pada setiap hari perlu dimaklumkan bagi memelihara serta menerapkan nilai-nilai disiplin, supaya ia dapat membantu meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran.
Berdasarkaan pernyataan Datuk Noh Omar dalam akhbar tempatan (Utusan Malaysia, 25hb Julai 2007) mengakui bahawa masalah disiplin pelajar dan cara sekolah menanganinya sering menjadi isu dan perhatian ibu bapa serta masyarakat berikutan perubahan masa serta cara pemikiran. Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan supaya pelajar dan guru mendapat pembelaan yang sewajarnya. Menurut beliau, keadaan ini membimbangkan berikutan laporan meluas oleh media mengenai tindakan guru terhadap pelajar yang tidak berdisiplin yang menimbulkan kesan negatif kepada guru dan juga ibu bapa sehingga menjejaskan semangat guru untuk mendidik dan membentuk pelajar sebagai modal insan yang berguna diikuti dengan pihak masyarakat yang hilang kepercayaan kepadasekolah sebagai institusi pendidikan. Mengikut Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979): “Rakyat yang berdisiplin adalah penting untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang bertatasusila, bersatu padu, demokratik, adil, liberal dan progresif, seperti cogan kata yang berbunyi: Rakyat Berdisiplin, Negara Maju”. Disiplin merupakan suatu jenis latihan yang melahirkan individu supaya menjadi insan yang berakhlak mulia, berfikiran rasional, sanggup mematuhi undang-undang dan hak-hak individu lain, bertanggungjawab serta sanggup memberi sumbangan kepada masyarakat dan Negara Berita-berita seperti kemerosotan disiplin pelajar dan masalah disiplin di sekolah-sekolah pada masa kini memang amat serius sehingga mencapai tahap yang membimbangkan. Walaupun pelajar sekolah diajar supaya menerima nilai-nilai murni tetapi keadaan ini hanya retorika semata-mata. Pelajar merupakan elemen atau asset penting dalam negara dan bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Merekalah yang akan terus melaksanakan program pembangunan negara untuk mencapai Wawasan 2020.
Pembangunan negara yang pesat dalam sektor ekonomi, sosial dan budaya serta perkembangan teknologi maklumat telah membawa bersama gejala sosial yang negatif di kalangan remaja sekolah. Keruntuhan akhlak dan nilai-nilai moral serta gaya hidup yang tidak sihat telah memberi kesan yang buruk kepada keluarga, masyarakat dan Negara. Satu kes buli yang dilaporkan pada bulan Februari 2009 di sebuah sekolah di Kuala Lumpur iaitu Sekolah Menengah di Cheras. Kejadian tersebut akibat daripada perebutan seorang gadis dipercayai menjadi punca sekumpulan 24 remaja membelasah seorang pelajar tingkatan empat sehingga koma. Mangsa, Mohd Azlin Mohamad, 16, cedera teruk di belakang kepala apabila lima lelaki daripada kumpulan itu disyaki memukulnya dengan besi, topi keledar dan pengunci motosikal selain menendang tanpa belas kasihan. Kumpulan lelaki itu, termasuk beberapa pelajar sekolah tersebut melarikan diri meninggalkan mangsa berlumuran darah di tempat kejadian. Dalam kejadian jam 9.30 malam, Mohd Azlin Mohamad bersama beberapa rakannya menunggu di depan sekolah berkenaan untuk menyelesaikan masalah dengan seorang remaja lelaki yang dikatakan keluar bersama teman wanitanya. Berikutan dengan kejadian tersebut, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abd Rahim Hamzah Othman, berkata polis sudah mengenal pasti dua individu daripada kumpulan lelaki itu berdasarkan soal siasat dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. ( Harian Metro : 19 Februari 2009 ).
Selain itu, masalah disiplin di kalangan pelajar ini juga telah dibuktikan dengan kes buli terkini yang dilakukan sekumpulan pelajar Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Oya, Dalat, Mukah, Sarawak yang disiarkan di laman web youtube telah mencabar kewibawaan Kementerian Pelajaran sehingga Ketua Pengarahnya Datuk Alimudin Mohd Dom terpaksa turun padang bagi menyelesaikan masalah tersebut. Tahap disiplin yang membimbangkan ketika ini menyebabkan Kementerian Pelajaran mengadakan perbincangan dua hala dengan pihak polis bagi mencari jalan menangani kes berkenaan agar tidak berlarutan. Mungkin sesetengah pihak terutama ibu bapa menganggap disiplin pelajar tanggungjawab sekolah, manakala guru pula mengharapkan ibu bapa yang sepatutnya mendisiplinkan anak mereka. Sekiranya masalah ini berterusan kemungkinan pelajar akan semakin berani untuk melakukan masalah disiplin di sekolah bahkan berlakunya masalah diluar sekolah. (Berita Harian : 08hb Mac 2009)
Selain itu, ponteng sekolah bukan sekadar masalah disiplin di kalangan pelajar, tetapi persoalannya lebih besar, antaranya ke mana dan apakah yang mereka buat sepanjang waktu melakukan salah laku itu serta akibatnya. Daripada lapan jenis salah laku disiplin disenaraikan Kementerian Pelajaran, ponteng berada di tangga kedua terbanyak selepas kurang sopan, diikuti berunsur jenayah, tidak pentingkan masa, kekemasan diri, kenakalan, laku musnah dan berunsur kelucahan.
Berdasarkan pengalaman lalu, akibat pelajar ponteng bukan saja ketinggalan dalam pelajaran, malah lebih teruk lagi termasuk terbabit gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah, vandalisme, gangsterisme, minuman keras, seks bebas, perjudian dan melepak. Implikasi besar yang mungkin wujud akibat masalah ponteng itu menyebabkan ia dianggap Kementerian Pelajaran sebagai salah laku disiplin paling serius. Rekod Kementerian Pelajaran tahun 2009 menunjukkan 21,060 pelajar (0.39 peratus) dikesan ponteng sekolah, manakala 24,840 pelajar (0.46 peratus) pada tahun sebelumnya.
Menurut Noorazman Mahat (2009), kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini juga turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah disiplin di kalangan pelajar. Terdapat pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekolah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tidak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin menyebabkan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Masalah ini semakin kuat diperkatakan selepas Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri meminta pihak sekolah, terutama guru besar dan pengetua tidak melindungi salah laku pelajar mereka yang bertujuan bagi menjaga nama baik sekolah kerana ia akan menimbulkan lebih banyak masalah seperti dilaporkan di akhbar.
KONKLUSI
Hakikat sekarang masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah menengah semakin serius dan kita tidak perlu menuding jari kepada mana-mana pihak. Semua pihak harus bekerjasama dan memberi perhatian yang serius kerana ia melibatkan asset negara yang tidak ternilai. Jika masalah ini tidak dapat dibendung dari peringkat awal lagi, maka Negara kita yang akan menanggung hakikatnya. Oleh yang demikian, masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah menengah perlu diberi perhatian yang serius agar masalah ini dapat dibendung dan diselidik pada peringkat akar umbi kerana melalui peringkat tersebut ia dapat membantu mengurangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar. Oleh yang demikian, semua pihak harus membantu dan bekerjasama terutamanya para ibu bapa, guru dan pihak kerajaan dalam mengembeleng tenaga untuk memastikan masalah disiplin dikalangan pelajar dapat dibendung supaya ia tidak terus menjadi masalah yang boleh menjejaskan nama baik sekolah sekaligus nama baik negara.