SISIPAN AKHBAR

 
GEJALA PONTENG SEKOLAH
 

TAK HIRAU.... dua pelajar yang didapati ponteng sekolah



TELUK INTAN 30 Jun, 2009 : “Sila ambil gambar kami bang! Siarlah dalam surat khabar...kami tak takut. Lagipun, kami nak berhenti sekolah,” itu antara kata-kata beberapa pelajar sekolah yang ponteng di lokasi tersembunyi sekitar pekan Sungai Manik, dekat sini.

Sekumpulan lima hingga enam pelajar terbabit turut melambaikan tangan sambil mengucapkan terima kasih kepada wartawan sebelum menunggang basikal meninggalkan lokasi persembunyian di sebuah ladang kelapa sawit selepas menukar pakaian sekolah.

Fenomena ponteng di kalangan pelajar sekolah menengah di kawasan bandar ini dan Taiping semakin teruk dan membimbangkan ibu bapa serta Jabatan Pendidikan Daerah Hilir Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Persekutuan (JKKP) Kampung Bahagia, Tajul Hasnan Mohd Rashid, 64, berkata gejala ponteng membabitkan beberapa sekolah menengah di bandar ini semakin serius sejak empat tahun lalu.

Katanya, pihaknya juga mengesan sekumpulan pelajar terbabit dipercayai berasal dari Kampung Bahagia serta Sungai Manik menjadikan kafe siber di beberapa pasar raya di bandar Taiping sebagai lokasi ‘berseronok’.

“Sebelum ke lokasi itu, mereka menjadikan beberapa kawasan kunci air seperti Kunci Air Sungai Suli, Kunci Air Kampung Kebun Limau dan rumah kosong sekitar Kampung Bahagia untuk menyalin pakaian.

“Saya sudah maklumkan perkara itu kepada Jabatan Pelajaran Daerah Hilir Perak dan ibu bapa pelajar terbabit, tetapi tidak ada tindakan diambil pihak berkenaan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Lebih mengecewakan, apabila aduan dibuat kepada ibu bapa, mereka membela anak masing-masing dan tidak mempercayai perbuatan itu dilakukan anak mereka.

“Ada ibu bapa mengatakan anak mereka ke sekolah dan pulang selepas waktu sekolah, tetapi tidak sedar mereka ditipu,” katanya.

Tajul Hasnan berkata, masalah itu pernah dibincangkan dalam mesyuarat JKKP dan sudah membuat aduan ke pejabat pendidikan daerah.

Namun, tidak ada sebarang tindakan diambil, malah kegiatan ponteng itu terus berlaku.


GEJALA GENGSTERISME

Empat pelajar parah bergaduh

BERITA HARIAN
 
 

KUALA LUMPUR: Empat pelajar sebuah sekolah menengah di sini cedera parah dalam satu pergaduhan di luar pekarangan sekolah mereka, petang semalam.

Mereka mendakwa diserang lebih 30 pelajar yang bersenjatakan besi, cota dan topi keledar, dipercayai daripada dua sekolah lain, di luar pintu sekolah, kira-kira jam 1.15 petang, ketika hendak pulang.
Seorang pelajar dikatakan mengalami kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi retak di tangan kanan dan dua lagi cedera di beberapa bahagian anggota badan.

Seorang daripada pelajar yang ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Mohd Amirul Aiman Mohd Marzukhi, 17, berkata dia diserang ketika cuba meleraikan pergaduhan dan membantu seorang rakannya yang dipukul.

"Mereka datang dan serang kami secara tiba-tiba. Saya cuba selamatkan rakan tapi dipukul di bahagian kepala," katanya.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Dang Wangi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian. – BERNAMA
 
 


GEJALA VANDALISME
 
 
 
 
 
 

 

 

Telefon awam rosak

BANTING: Umpama tugu. Itulah boleh dikatakan terhadap deretan 13 pondok telefon awam yang tersusun berbaris di Terminal Bas Banting, di sini, yang tidak memberi sebarang makna apabila hampir semuanya gagal berfungsi dengan baik.
Tinjauan Metroplus di terminal bas itu baru-baru ini, mendapati hanya dua pondok telefon yang masih boleh digunakan manakala selebihnya rosak termasuk aksesorinya tertanggal selain ketiadaan gagang telefon.
Keadaan itu meresahkan pengguna yang memerlukan alat komunikasi itu terutama ketika berlaku kecemasan hingga terpaksa ke lokasi lebih jauh bagi mendapatkan kemudahan awam itu.
Pengguna, Mazly Hanif Mohamad, 29, berharap telefon awam di situ dipastikan berada dalam keadaan sempurna kerana ia lebih mudah dan murah digunakan ketika kecemasan.

“Saya kesal kerana telefon awam di sini tidak dapat digunakan sedangkan ia sepatutnya berfungsi untuk kegunaan awam. Ia penting apatah lagi sekiranya berlaku kecemasan.
“Saya pernah mengalami situasi yang mana telefon bimbit saya kehabisan kredit dan pada waktu itulah saya sangat memerlukan telefon awam untuk membuat panggilan. “Hanya pondok telefon saja cantik tetapi telefonnya pula langsung tidak boleh digunakan. Ada yang tertera panggilan kecemasan dan ada pula yang langsung tidak ‘bernyawa’,” katanya. Pengguna lain, Noor Shamsiah Jamal, 35, pula berpendapat kebanyakan telefon awam di sekitar terminal bas itu menjadi mangsa pelaku vandalisme yang tidak bertanggungjawab.
“Saya sendiri tidak faham mengapa kemudahan awam sering dijadikan sebagai mangsa vandalisme. Mereka yang berbuat demikian seolah-olah tidak memikirkan kesusahan orang lain yang ingin menggunakan telefon awam terbabit.
“Mungkin sekarang kita tidak menyedari kepentingan telefon awam. Bayangkan kita mengalami kecemasan dan perlu menggunakan telefon awam tetapi ia rosak. Ketika itu menyesal tidak berguna lagi,” katanya.
Sebagai pengguna, katanya, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk menjaga telefon awam daripada dirosakkan.
Beliau berkata, tindakan tegas dan pemantauan secara kerap perlu dilakukan pihak bertanggungjawab termasuk mengenakan denda tinggi kepada pelaku vandalisme mungkin dapat menginsafkan dan menakutkan mereka.
“Saya cadangkan pihak yang bertanggungjawab meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran pondok telefon awam bagi memudahkan pelaku vandalisme ini dikesan dan jika tertangkap, kenakan denda setimpal kepada mereka kerana menyusahkan pengguna lain,” katanya.

Source: Harian Metro

 



 

No comments:

Post a Comment