Wednesday, 29 August 2012
Tuesday, 7 August 2012
PENGENALAN
PENGENALAN
Disiplin memainkan
peranan yang penting ke arah pembentukan sahsiah para pelajar. Ia adalah salah
satu komponen penting dalam sistem persekolahan yang berkait rapat berkenaan
tatatertib, tatasusila, keadaan, akhlak dan kesopanan. Perkataan disiplin merupakan
satu perkara yang begitu sinonim dalam kehidupan kita seharian. Perkataan disiplin
ini membawa pengertian yang begitu meluas sama ada pengertian yang positif ataupun
pengertian yang negatif. Walaubagaimanapun, pengertian negatifnya yang sering
menjadi tumpuan dan menjadi satu isu yang amat popular jika ia melibatkan individu
atau kumpulan yang rapat dengan masyarakat. Apa yang diperkatakan sekarang ialah
masalah disiplin di sekolah semakin menjadi-jadi dan semakin menular bukan saja
di dalam sekolah malah di luar kawasan sekolah yang melibatkan pelajar sekolah menengah.
Disiplin dan
kawalan pelajar di sekolah harian samaada di bandar dan luar bandar adalah bersesuaian
dengan kemerosotan disiplin di kalangan pelajar sekolah pada sebilangan masa.
Peranan utama para guru dalam menerapkan nilai disiplin dengan menunjukkan
kesungguhan dan kesediaan pihak sekolah memberikan penegasan yang lebih
berkesan. Sekurang-kurangnya dengan memberi suatu garis panduan mengenai masalah
disiplin yang kerap berlaku di sekolah menengah. Selain itu, bagaimana disiplin
dapat dikawal oleh pihak sekolah pada setiap hari perlu dimaklumkan bagi
memelihara serta menerapkan nilai-nilai disiplin, supaya ia dapat membantu
meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran.
Berdasarkaan
pernyataan Datuk Noh Omar dalam akhbar tempatan (Utusan Malaysia, 25hb Julai
2007) mengakui bahawa masalah disiplin pelajar dan cara sekolah menanganinya
sering menjadi isu dan perhatian ibu bapa serta masyarakat berikutan perubahan
masa serta cara pemikiran. Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan supaya pelajar dan
guru mendapat pembelaan yang sewajarnya. Menurut beliau, keadaan ini
membimbangkan berikutan laporan meluas oleh media mengenai tindakan guru
terhadap pelajar yang tidak berdisiplin yang menimbulkan kesan negatif kepada
guru dan juga ibu bapa sehingga menjejaskan semangat guru untuk mendidik dan
membentuk pelajar sebagai modal insan yang berguna diikuti dengan pihak
masyarakat yang hilang kepercayaan kepadasekolah sebagai institusi pendidikan. Mengikut
Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979): “Rakyat yang berdisiplin adalah penting
untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang bertatasusila, bersatu padu, demokratik,
adil, liberal dan progresif, seperti cogan kata yang berbunyi: Rakyat Berdisiplin,
Negara Maju”. Disiplin merupakan suatu jenis latihan yang melahirkan individu
supaya menjadi insan yang berakhlak mulia, berfikiran rasional, sanggup mematuhi
undang-undang dan hak-hak individu lain, bertanggungjawab serta sanggup memberi
sumbangan kepada masyarakat dan Negara Berita-berita seperti kemerosotan
disiplin pelajar dan masalah disiplin di sekolah-sekolah pada masa kini memang
amat serius sehingga mencapai tahap yang membimbangkan. Walaupun pelajar
sekolah diajar supaya menerima nilai-nilai murni tetapi keadaan ini hanya
retorika semata-mata. Pelajar merupakan elemen atau asset penting dalam negara
dan bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Merekalah yang akan terus
melaksanakan program pembangunan negara untuk mencapai Wawasan 2020.
Pembangunan negara
yang pesat dalam sektor ekonomi, sosial dan budaya serta perkembangan teknologi
maklumat telah membawa bersama gejala sosial yang negatif di kalangan remaja
sekolah. Keruntuhan akhlak dan nilai-nilai moral serta gaya hidup yang tidak
sihat telah memberi kesan yang buruk kepada keluarga, masyarakat dan Negara. Satu
kes buli yang dilaporkan pada bulan Februari 2009 di sebuah sekolah di Kuala
Lumpur iaitu Sekolah Menengah di Cheras. Kejadian tersebut akibat daripada perebutan
seorang gadis dipercayai menjadi punca sekumpulan 24 remaja membelasah seorang
pelajar tingkatan empat sehingga koma. Mangsa, Mohd Azlin Mohamad, 16, cedera
teruk di belakang kepala apabila lima lelaki daripada kumpulan itu disyaki memukulnya
dengan besi, topi keledar dan pengunci motosikal selain menendang tanpa belas
kasihan. Kumpulan lelaki itu, termasuk beberapa pelajar sekolah tersebut melarikan
diri meninggalkan mangsa berlumuran darah di tempat kejadian. Dalam kejadian
jam 9.30 malam, Mohd Azlin Mohamad bersama beberapa rakannya menunggu di depan
sekolah berkenaan untuk menyelesaikan masalah dengan seorang remaja lelaki yang
dikatakan keluar bersama teman wanitanya. Berikutan dengan kejadian tersebut, Timbalan
Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abd Rahim Hamzah Othman, berkata polis
sudah mengenal pasti dua individu daripada kumpulan lelaki itu berdasarkan soal
siasat dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. (
Harian Metro : 19 Februari 2009 ).
Selain itu, masalah
disiplin di kalangan pelajar ini juga telah dibuktikan dengan kes buli terkini
yang dilakukan sekumpulan pelajar Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan
Oya, Dalat, Mukah, Sarawak yang disiarkan di laman web youtube telah mencabar
kewibawaan Kementerian Pelajaran sehingga Ketua Pengarahnya Datuk Alimudin Mohd
Dom terpaksa turun padang bagi menyelesaikan masalah tersebut. Tahap disiplin
yang membimbangkan ketika ini menyebabkan Kementerian Pelajaran mengadakan
perbincangan dua hala dengan pihak polis bagi mencari jalan menangani kes
berkenaan agar tidak berlarutan. Mungkin sesetengah pihak terutama ibu bapa
menganggap disiplin pelajar tanggungjawab sekolah, manakala guru pula mengharapkan
ibu bapa yang sepatutnya mendisiplinkan anak mereka. Sekiranya masalah ini
berterusan kemungkinan pelajar akan semakin berani untuk melakukan masalah
disiplin di sekolah bahkan berlakunya masalah diluar sekolah. (Berita Harian :
08hb Mac 2009)
Selain itu, ponteng
sekolah bukan sekadar masalah disiplin di kalangan pelajar, tetapi persoalannya
lebih besar, antaranya ke mana dan apakah yang mereka buat sepanjang waktu
melakukan salah laku itu serta akibatnya. Daripada lapan jenis salah laku
disiplin disenaraikan Kementerian Pelajaran, ponteng berada di tangga kedua terbanyak
selepas kurang sopan, diikuti berunsur jenayah, tidak pentingkan masa, kekemasan
diri, kenakalan, laku musnah dan berunsur kelucahan.
Berdasarkan pengalaman
lalu, akibat pelajar ponteng bukan saja ketinggalan dalam pelajaran, malah lebih
teruk lagi termasuk terbabit gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah, vandalisme,
gangsterisme, minuman keras, seks bebas, perjudian dan melepak. Implikasi besar
yang mungkin wujud akibat masalah ponteng itu menyebabkan ia dianggap Kementerian
Pelajaran sebagai salah laku disiplin paling serius. Rekod Kementerian Pelajaran
tahun 2009 menunjukkan 21,060 pelajar (0.39 peratus) dikesan ponteng sekolah,
manakala 24,840 pelajar (0.46 peratus) pada tahun sebelumnya.
Menurut Noorazman
Mahat (2009), kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini
juga turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah disiplin di kalangan
pelajar. Terdapat pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekolah
mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada
pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan
dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tidak acuh sekolah yang turut
kekurangan guru disiplin menyebabkan pelajar semakin berani melakukan kesalahan
disiplin. Masalah ini semakin kuat diperkatakan selepas Tunku Besar Tampin,
Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri meminta pihak sekolah, terutama
guru besar dan pengetua tidak melindungi salah laku pelajar mereka yang
bertujuan bagi menjaga nama baik sekolah kerana ia akan menimbulkan lebih
banyak masalah seperti dilaporkan di akhbar.
KONKLUSI
Hakikat sekarang
masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah menengah semakin serius dan
kita tidak perlu menuding jari kepada mana-mana pihak. Semua pihak harus
bekerjasama dan memberi perhatian yang serius kerana ia melibatkan asset negara
yang tidak ternilai. Jika masalah ini tidak dapat dibendung dari peringkat awal
lagi, maka Negara kita yang akan menanggung hakikatnya. Oleh yang demikian, masalah
disiplin di kalangan pelajar sekolah menengah perlu diberi perhatian yang serius
agar masalah ini dapat dibendung dan diselidik pada peringkat akar umbi kerana melalui
peringkat tersebut ia dapat membantu mengurangkan masalah yang dihadapi oleh
pelajar. Oleh yang demikian,
semua pihak harus membantu dan bekerjasama terutamanya para ibu bapa, guru dan
pihak kerajaan dalam mengembeleng tenaga untuk memastikan masalah disiplin
dikalangan pelajar dapat dibendung supaya ia tidak terus menjadi masalah yang
boleh menjejaskan nama baik sekolah sekaligus nama baik negara.
Subscribe to:
Posts (Atom)